Site icon TechNave BM

SKMM terima 744 laporan berkenaan “scam” melibatkan Facebook setakat Mei 2023

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Teo Nie Ching berkata pada tahun ini setakat 25 Mei, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menerima 744 laporan mengenai kes penipuan dalam talian yang melibatkan laman Facebook.

Selain Facebook, perkhidmatan media sosial yang turut terlibat dalam kes penipuan yang dilaporkan termasuklah Telegram (17 kes), WhatsApp (16 kes), Instagram (7 kes) dan e-mel (1 kes).

Menurutnya, angka yang tinggi ini menunjukkan kepentingan untuk kerajaan bekerjasama dengan penyedia platform media sosial supaya kes jenayah dalam talian itu boleh diambil tindakan segera.

Selain itu, jika terdapat ucapan bersifat perkauman dalam platform media sosial, KKD boleh menghantar senarai laporan kepada penyedia platform. Sungguh pun begitu, penyedia platform mungkin hanya akan merujuk garis panduan mereka sendiri untuk buat keputusan sama ada kandungan itu akan dipadam atau tidak.

KKD telah pun berjumpa dengan penyedia media sosial seperti TikTok, Facebook dan Google untuk memastikan aktiviti yang melanggar undang-undang negara boleh diambil tindakan secepat mungkin.

Selain itu, beliau juga meminta orang ramai dan ahli politik untuk tidak menyalahgunakan platform media sosial dengan membuat kenyataan berbaur kebencian, perkauman dan agama, terutamanya dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang semakin hampir.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version