Site icon TechNave BM

SKMM tidak keluarkan sebarang poster amaran henti guna tanda pagar #SiBodohKauDengarSini

Beberapa hari yang lepas, laman Twitter telah dibanjiri dengan ciapan yang mengandungi tanda pagar #SiBodohKauDengarSini. Berikutan hal ini, terdapat poster amaran yang didakwa dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk berhenti menggunakan tanda pagar ini tular. SKMM kini mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa poster amaran tersebut bukan dari pihak mereka.

Sepintas lalu, tanda pagar #SiBodohKauDengarSini yang sohor kini di laman Twitter bermula dengan ciapan dari sebuah akaun yang membalas kepada akaun lain mengenai isu tempahan makanan untuk servis penghantaran yang dibataskan sehingga 7 malam sahaja. Rata-rata warga Malaysia di Twitter turut menyiarkan ciapan dengan tanda pagar #SiBodohKauDengarSini dan meluahkan kekesalan terhadap panduan PKP yang dianggap boleh diperbaik oleh kerajaan.

Rentetan tanda pagar yang sohor kini, sebuah poster yang mengandungi amaran menghentikan penggunaan #SiBodohKauDengarSini telah tular. Poster tersebut dilihat memaparkan fakta kesalahan yang direka-reka. SKMM menafikan bahawa poster tersebut adalah dari pihaknya.

Kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: SKMM

Exit mobile version