Site icon TechNave BM

Skrin iPhone 12 lebih kukuh dan tahan calar berbanding iPhone 11

Sewaktu Apple melancarkan telefon pintar iPhone 12 pada awal bulan ini, Apple memperkenalkan bahan Ceramic Shield yang digunakan dalam skrin untuk semua varian iPhone 12 yang menjanjikan ketahanan lebih tinggi berbanding skrin iPhone 11 sehingga empat kali ganda. Apple juga mengatakan Ceramic Shield adalah kaca telefon pintar yang paling tahan lasak dalam dunia.

Bagi menguji dakwaan ini, seorang pengulas di YouTube, Mobile Reviews Eh, telah menggunakan alat pengukur daya atau dynamometer untuk melihat sejauh mana skrin iPhone 12 boleh bertahan di bawah tekanan tinggi. Dalam video tersebut, beliau menunjukkan bahawa skrin iPhone 11 mampu menahan daya sehingga 352N, manakala skrin iPhone 12 pula mampu menahan jauh lebih tinggi iaitu sehingga 442N.

Beliau turut menguji tahap kalis calar iPhone 12 dengan pelbagai objek seperti syiling, kunci, batu dan pisau namun semua objek tersebut gagal meninggalkan kesan calar pada iPhone 12 kecuali pisau.

Apabila skrin tersebut diuji dengan ujian ketahanan Mohr, kesan calar hanya terdapat pada iPhone 12 apabila ia dicalar pada Tahap 7 manakala skrin iPhone 11 telah tercalar pada Tahap 6 sahaja. Kedua-dua telefon tercalar dengan serius pada Tahap 8.

Untuk makluman, ujian ketahanan Mohr menggunakan batang yang dibuat daripada pelbagai bahan bagi menguji tahap kalis calar sesuatu bahan. Batang yang terdiri daripada pelbagai tahap akan dicalarkan pada permukaan yang ingin diuji dan keputusan akan dinilai daripada kesan calar. Secara amnya, tahap yang lebih tinggi menandakan ketahanan calar yang lebih tinggi.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version