Apple mendapati bahawa sebahagian iPhone 11 yang dihasilkan antara November 2019 dan Mei 2020 mungkin mengalami masalah skrin di mana ia tidak bertindak balas dengan sentuhan daripada jari pengguna. Jika iPhone 11 anda mengalami masalah ini dan dikilangkan dalam tempoh tersebut, Apple akan menggantikan skrin anda secara percuma.
Untuk membantu anda memeriksa tarikh pengilangan iPhone 11 anda, Apple telah menyediakan perkhidmatan penyemakan nombor siri telefon anda di laman web ini. Buat telefon yang terbabit, pelanggan perlu melawat Apple Authorised Service Provider untuk mendapatkan pembaikian secara percuma.
Sebelum menghantar iPhone 11 untuk pembaikian, Apple menasihati pelanggan untuk menyandarkan (back-up) data mereka ke dalam iCloud atau komputer. Jika iPhone 11 anda mengalami masalah sama sebelum ini dan anda telah membayar untuk proses pembaikian, anda boleh hubungi Apple untuk mendapatkan semula wang anda.
Beritahu kami di Facebook jika iPhone 11 anda terkesan oleh isu ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Apple Support Malaysia

