Site icon TechNave BM

Skype lancarkan fungsi Meet Now untuk menyaingi Zoom dalam perkhidmatan panggilan internet

Dengan pelaksanaan kuarantin yang dilaksanakan dalam puluhan negara pada waktu ini, pelbagai syarikat telah menggunakan aplikasi seperti Zoom untuk mengadakan mesyuarat dalam talian bagi menggantikan sesi mesyuarat dalam pejabat. Antara daya penarik Zoom adalah keringkasan dalam penggunaannya kerana tidak semua orang dalam suatu mesyuarat itu perlu mempunyai akaun Zoom untuk menggunakannya.

Kini, Skype pula mengeluarkan sebuah perkhidmatan serupa yang dinamakan Meet Now. Seperti Zoom, pengguna Meet Now tidak perlu mempunyai akaun Skype atau memasang perisian Skype dalam peranti mereka untuk menggunakannya. Penganjur mesyuarat hanya perlu menjana sebuah pautan (link) khas dan berkongsi pautan itu kepada para peserta lain dalam mesyuarat tersebut agar mereka boleh menyertainya.

Anda juga boleh menyimpan (save) video mesyuarat anda, di mana Meet Now akan menyimpannya selama 30 hari. Selain itu, Meet Now juga mempunyai kebolehan untuk mengkaburkan latar belakang anda sewaktu dalam panggilan.

Jika anda menggunakan Zoom sebelum ini, adakah kini anda akan cuba menggunakan Meet Now pula untuk mesyuarat anda? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version