Selepas kemunculan sulung di Malaysia Autoshow 2025, smart Malaysia hari ini mengumumkan pembukaan rasmi tempahan bagi smart #5. SUV elektrik premium ini menonjol dengan rekaan lasak, prestasi tinggi dan keselesaan moden. Ia menampilkan bentuk kotak tegap yang menyerlahkan karekter berani dan dinamik.
Pelanggan boleh menempah smart #5 dengan bayaran RM2,000 melalui aplikasi Hello smart di Apple App Store, Google Play Store dan Huawei App Gallery atau terus di laman web rasmi smart Malaysia. Menariknya, ruang dalaman smart #5 menampilkan balutan kulit Nappa, kemasan kayu oak serta bumbung kaca panoramik 1.7m².
Ia turut dilengkapi tiga konfigurasi tempat duduk boleh laras, sistem pengudaraan tempat duduk hadapan dan ruang but besar berkapasiti 1,530 liter. Model ini hadir dengan dua skrin OLED 13 inci, paparan AR 25.6 inci, cip AMD V2000 dan avatar pintar LEO berkuasa ChatGPT. Sistem audio pula dikuasakan oleh 20 pembesar suara SENNHEISER dengan Dolby Atmos.
smart #5 juga mencatat penarafan keselamatan 5 Bintang Euro NCAP dengan struktur badan menggunakan 82% keluli berkekuatan tinggi dan tujuh beg udara. Ciri Smart Pilot Assist termasuk Highway Pilot Assist dan sistem kamera 360°.
Dua varian ditawarkan seperti Premium dengan jarak pemanduan sehingga 590km (WLTP) dan pacuan roda belakang dan BRABUS dengan pacuan semua roda, Launch Mode dan pecutan 0–100 km/j dalam 3.8 saat. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

