Site icon TechNave BM

Snapdragon 888 Plus 5G dilancar, tampilkan prestasi lebih pantas sebanyak 20%

Dalam acara Mobile World Congress (MWC) Barcelona 2021 yang bermula pada hari ini, Qualcomm telah melancarkan cipset telefon pintar andalan terbaru iaitu Snapdragon 888 Plus 5G yang merupakan naik taraf daripada cipset Snapdragon 888.

Snapdragon 888 Plus 5G menawarkan kelajuan clock yang lebih tinggi untuk teras Qualcomm Kryo 680 CPU Prime sehingga 3.0GHz dan Qualcomm AI Engine generasi ke-6 dengan prestasi sehingga 32 TOPS AI untuk peningkatan prestasi sebanyak 20%. Ia masih mengekalkan unit pemproses grafik (GPU) Adreno 660 untuk menghasilkan grafik bermutu tinggi dan pemproses signal imej (ISP) untuk fotografi yang cantik dan rakaman 8K.

Setakat ini beberapa jenama telefon pintar sudah pun mengesahkan bahawa mereka akan menggunakan cipset terbaru ini seperti ASUS ROG, HONOR, Motorola, vivo dan Xiaomi. HONOR telah pun mengesahkan bahawa cipset Snapdragon 888 Plus 5G akan dilengkapkan dalam siri telefon andalan HONOR Magic3.

Telefon-telefon pertama dengan cipset tercanggih daripada Qualcomm ini dijangka akan mula dilancar pada suku ketiga 2021. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Qualcomm

Exit mobile version