Site icon TechNave BM

Snapdragon 888 Plus muncul di Geekbench, dilengkapi teras Cortex-X1 ‘overclocked’ 3GHz!

Sejak beberapa tahun yang lalu, Qualcomm sentiasa konsisten menghasilkan cipset kelas andalan mereka. Versi biasa cipset andalan mereka akan dilancarkan pada bulan Disember, kemudiannya versi Plus akan dilancarkan pada bulan Julai. Kini, beberapa minggu sebelum bulan Julai tiba, sebuah cipset yang dipercayai adalah Snapdragon 888 Plus telah muncul di penanda aras GeekBench.

Melihat kepada penyenaraian tersebut, ia hadir dengan teras prestasi Cortex-X1 ‘overclocked’ pada 3.0Ghz, lebih tinggi dari 2.84Ghz pada model biasa. Hasil penanda aras tersebut juga menunjukkan bahawa ia dilengkapi empat teras A55 pada 1.8Ghz dan tiga teras Cortex-A78 pada 2.4Ghz.

Dengan lapan teras itu, cipset Snapdragon 888 Plus ini mampu mendapat markah setinggi 1,171 untuk teras tunggal dan 3,704 untuk teras pelbagai. Markah ini seiring dengan markah yang telah dilihat pada peranti yang menggunakan cipset Snapdragon 888, sama seperti markah Snapdragon 865 Plus yang menyamai Snapdragon 865.

Buat masa ini, tiada lagi informasi lain mengenai cipset ini. Ia mungkin akan menawarkan sedikit penambahbaikan dari segi GPU.

Nantikan berita lanjut mengenai cipset ini di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber : GSMArena

Exit mobile version