Site icon TechNave BM

Sonos bawa Beam Ultra, Ace Ultra dan Sonos 27 ke Malaysia, harga bermula RM4,199

Sonos telah memperkenalkan tiga penawaran baharu di Malaysia iaitu soundbar Beam Ultra, fon telinga premium Sonos Ace Ultra dan sistem kendalian audio Sonos 27. Semua penawaran ini diimport menerusi pengedar rasmi TC Acoustic dan akan mula dijual secara rasmi di pasaran tempatan bermula 29 September 2026.

Soundbar Sonos Beam Ultra mengekalkan saiz kompak sedia ada tetapi kini dilengkapi sokongan audio Dolby Atmos 7.1.2 melalui sembilan pemacu audio binaan khas termasuk dua pemacu menghadap ke atas. Peranti menyokong empat tahap ciri AI Speech Enhancement untuk kejelasan dialog serta fungsi Night Sound untuk pendengaran malam.

Pengguna juga boleh memadankan sistem ini bersama Sub atau pembesar suara portabel Sonos sebagai pembesar suara pemutar. Bagi fon telinga Sonos Ace Ultra, ia hadir dengan pemacu audio 40mm rekaan Sonos, ciri Adaptive ANC yang dikuasakan oleh 10 mikrofon dan ketahanan bateri sehingga 35 jam dengan ANC diaktifkan.

Menggunakan platform Headphone Engine 2, pengguna boleh memindahkan Audio secara terus dari sistem pembesar suara Sonos ke fon telinga atau sebaliknya dengan satu tekan butang tanpa perlu berada berdekatan telefon pintar. Sistem kendalian baharu Sonos 27 pula memperkenalkan ketersambungan AI melalui fungsi Sonos 27mcp berasaskan piawaian terbuka Model Context Protocol (MCP).

Ia membolehkan pengguna mengawal sistem audio menggunakan platform AI seperti ChatGPT melalui arahan bahasa semula jadi untuk memainkan lagu, melaras kelantangan atau memindahkan audio. Sonos turut mengacah pengenalan Sonos Custom Agents yang dijangka dilancarkan pada tahun 2027 bagi membolehkan pengguna mencipta ejen AI sendiri.

Sonos Beam Ultra dijual pada harga RM4,199 dalam pilihan warna Black dan White. Manakala fon telinga Sonos Ace Ultra ditawarkan pada harga RM2,299 dengan empat pilihan warna iaitu Black, White, Agave dan Sand. Tempahan awal kini dibuka menerusi Kedai Konsep Sonos di The Starhill KL, laman web rasmi TC Acoustic dan kedai rasmi Sonos di Lazada.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version