Sonos melalui pengedarnya di Malaysia, TC Acoustic, mengumumkan dua peranti audio baharu iaitu Sonos Play dan Sonos Era 100 SL untuk pasaran tempatan. Sonos Play merupakan pembesar suara mudah alih yang menyokong sambungan WiFi dan Bluetooth serta boleh digunakan sebagai sebahagian daripada sistem audio multi-bilik Sonos.
Ia menawarkan sehingga 24 jam hayat bateri, penarafan IP67 untuk ketahanan air dan habuk serta fungsi power bank terbina untuk mengecas peranti lain. Peranti turut menyokong sambungan stereo, kawalan melalui aplikasi Sonos dan integrasi dengan platform seperti Spotify Connect serta Apple AirPlay 2.
Sementara itu, Sonos Era 100 SL merupakan versi tanpa mikrofon kepada model Era 100 yang ditujukan kepada pengguna yang mahukan pengalaman audio Sonos tanpa fungsi arahan suara. Pembesar suara ini boleh digunakan secara tunggal, digandingkan sebagai stereo atau dijadikan sebahagian daripada sistem home theatre dalam ekosistem Sonos.
Menurut Sonos, kedua-dua peranti direka untuk menyokong sistem audio rumah yang boleh berkembang daripada satu bilik kepada beberapa ruang melalui rangkaian WiFi. Ia turut menyokong lebih 100 perkhidmatan penstriman muzik serta boleh digunakan untuk muzik, podcast dan audio daripada televisyen.
Tempahan untuk kedua-dua model boleh dibuat melalui laman rasmi TC Acoustic, Sonos Concept Store di Starhill, Lazada serta pengedar terpilih di seluruh negara dengan jualan rasmi dijadualkan bermula 7 April 2026.
Selain itu, TC Acoustic juga mengadakan promosi sempena musim perayaan dari 13 hingga 22 Mac 2026 yang melibatkan produk audio daripada jenama Sonos dan Bowers & Wilkins. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

