Sony dan Honda bersama-sama mengambil langkah besar ke hadapan dalam bidang kereta elektrik (EV) dengan mendedahkan nama jenama dan kenderaan elektrik pertama mereka. AFEELA ialah nama untuk model pengeluaran pertama usaha sama itu dan konsep pertama untuk kereta tersebut telah dipamerkan di atas pentas di CES 2023.
Mereka merancang untuk membuka tempahan pada separuh pertama 2025 dengan jualan sebenar menjelang akhir 2025 dan penghantaran bermula dari musim bunga 2026. Ketua Pegawai Eksekutif Sony Honda Mobility, Yasuhide Mizuno, mendakwa bahawa AFEELA akan memberi tumpuan kepada tiga konsep utama iaitu autonomi, teknologi dan sambungan.
Kenderaan AFEELA akan dilengkapi lebih daripada 45 sensor dan kamera dan akan memanfaatkan Qualcomm Snapdragon Digital Chassis dengan 800 TOPS kapasiti pengkomputeran untuk ciri utama seperti ADAS, infotainment dan telematik.
Sony berkata AFEELA membolehkan pemiliknya berkomunikasi dengan pemandu kereta lain. Sony juga telah bekerjasama dengan Epic Games untuk bahagian hiburan. Satu idea yang telah wujud untuk kereta Honda-Sony ialah penyepadanan PlayStation 5 untuk game dan hiburan. Namun, tiada pengesahan atau penafian pada peringkat ini tetapi mereka masih menilai pilihan itu.
Sony melihat kenderaan elektrik sebagai platform utama untuk pembangunan produk elektronik dan hiburan masa depannya. Honda juga sedang mengusahakan barisan kenderaan elektrik (EV) sendiri bermula dengan Prolog yang sedang dibangunkan hasil kerjasama General Motors.
Honda Prologue ialah kenderaan elektrik jarak jauh pertama Honda yang direka untuk pasaran Amerika Utara dan dirancang untuk dikeluarkan pada 2024. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: AFEELA

