Site icon TechNave BM

Sony Float Run dilancar di Malaysia, fon kepala tanpa tekanan untuk atlit berharga RM599

Sony Malaysia hari ini mengumumkan Sony Float Run iaitu fon kepala baharu yang direka dengan mengutamakan pelari dan atlet. Menampilkan gaya fon kepala baharu yang meletakkan pembesar suara berhampiran tanpa menyentuh saluran telinga.

Float Run memfokuskan pada reka bentuk untuk atlit larian bagi pengalaman yang selesa dan stabil tanpa menjejaskan kualiti bunyi. Rekaan luar telinga khas ini didakwa memberikan keselesaan berpanjangan tanpa perlu risau tentang tekanan atau kesakitan pada telinga.

Peranti ini hanya seberat 33 gram dan mempunyai tali yang fleksibel bagi memastikan ia terletak walaupun apabila pengguna memakai aksesori seperti topi atau cermin mata hitam. Daripada segi bunyi, Float Run mempunyai pemacu 16mm dan penalaan tepat yang didakwa Sony memberikan bunyi yang lebih semula jadi dan sound stage yang lebih luas.

Selain itu, fon kepala ini juga tahan air dengan penarafan IPX4, hayat bateri sehingga 10 jam, pengecasan USB-C dengan cas 10 minit memberikan satu jam main semula muzik dan mikrofon terbina dalam. Di Malaysia, Float Run boleh didapati mulai Mei 2023 pada harga RM599 di laman rasmi Sony Malaysia.

Adakah anda berminat dengan Float Run? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version