Site icon TechNave BM

Sony lancarkan Alpha 7C: Kamera ‘full-frame’ terkecil dalam dunia berharga RM8,399

Sony hari ini telah mengumumkan sebuah kamera baru dalam barisan produk Alpha iaitu Alpha 7C, sebuah kamera dengan sensor Exmor R CMOS 24.2MP full-frame yang mempunyai bentuk kecil. Ini membuatkannya sebuah kamera full-frame yang lebih mudah untuk dimiliki kebanyakan pengguna.

Alpha 7C menampilkan fungsi yang sinonim dengan siri A7 seperti autofokus phase detect yang pantas, jejakan autofokus mata (Real-time Eye AF), kadar tangkapan sehingga 10 gambar sesaat, rakaman 4K 120fps, profil warna S-Log, penstabilan lima paksi dan banyak lagi.

Sony A7C dalam warna hitam
Sony A7C dalam warna perak

Daripada segi luaran, Alpha 7C mempunyai berat yang serupa dengan kamera yang mempunyai sensor APS-C seperti Alpha 6600 iaitu 509 gram. Ia juga sesuai untuk dijadikan sebagai kamera vlog, dengan skrin sentuh LCD yang boleh diputar ke hadapan untuk rakaman swafoto.

Alpha 7C dilancarkan bersama lensa baru, FE 28-60mm F4-5.6, yang merupakan lensa paling ringan untuk kelas ini dan sesuai digunakan untuk kegunaan harian atau vlogging. Selain itu, terdapat juga lampu kilat (flash) baru iaitu HVL-F28RM yang dikhaskan untuk kamera mirrorless Sony.

Sony Malaysia akan menganjurkan sebuah kempen pra-pesan untuk Alpha 7C bermula 15 September hingga 15 Oktober, di mana ia akan dijual pada harga bermula RM8,399 untuk kamera sahaja (tanpa lensa). Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan kamera ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version