Site icon TechNave BM

Sony lancarkan A7S III: Sensor Exmor R CMOS 12.1MP, ISO 409,600, video 4K 120p berharga ~RM14,873

Sony akhirnya telah melancarkan kamera full-frame mirrorless terbaru, Alpha 7S III. Kamera ini meningkatkan kebolehan penggambaran malap yang memang sudah sinonim dengan siri kamera Alpha 7S. Ia akan mula dijual di Amerika Syarikat pada harga USD3,500 (~RM14,873) dan tiba di pasaran Malaysia bermula bulan Oktober.

Alpha 7S III dilengkapi sensor Exmor R CMOS 12.1MP yang boleh mengurangkan efek rolling shutter dan merakam video dalam suasana yang sangat malap tanpa meninggalkan banyak kesan noise. Kamera ini juga turut dilengkapi pemproses BIONZ XR yang mempunyai kuasa pemprosesan lapan kali lebih tinggi daripada sebelum ini dan mengurangkan masa pemprosesan imej (processing latency). Kamera ini turut mempunyai viewfinder elektronik OLED, teknologi penstabilan imej lima paksi dan sokongan dwi-kad CFexpress Type A.

Dengan spesifikasi hebat ini, Alpha 7S III mampu menyokong jurang ISO daripada 40 sehingga 409,600 untuk situasi yang amat malap. Dalam mod burst pula, ia boleh mengambil gambar sehingga 10fps. Daripada segi resolusi, ia boleh menyokong 4K pada 120fps dengan kedalaman 10-bit dan colour sampling 4:2:2.

Jika anda bekerja dengan camcorder profesional lain, kamera ini boleh menyokong tetapan colour gamut S-Gamut, S-Gamut3 dan S-Gamut3.Cine untuk memudahkan kerja suntingan. Terdapat juga profil gambar (picture profile) S-Log3 dan HLG untuk turut memudahkan suntingan.

Alpha 7S III ini sarat dengan pelbagai teknologi canggih yang tentunya boleh dimanfaatkan oleh golongan penggambar profesional. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman webnya dalam Sony Malaysia. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan kamera ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version