Site icon TechNave BM

Sony lancarkan ‘earphone’ wayarles WF-SP800N, dilengkapi pembatalan hingar & kalis air IP55 berharga RM849

Sony Malaysia telah melancarkan sebuah earphone wayarles terbaru, WF-SP800N, yang direka khas untuk kegunaan sukan dan gaya hidup aktif. Ia dilengkapi pelbagai ciri-ciri yang dikhaskan untuk kegunaan yang mudah sewaktu pengguna sedang bersenam, berlatih atau berehat.

WF-SP800N mempunyai rating kalis air dan debu IP55, justeru melindunginya daripada titisan peluh pengguna sewaktu bersenam dan membuatkannya mudah untuk dibasuh. Rekaan kusyen khas memastikan agar ia kekal di telinga walaupun sewaktu aktiviti fizikal.

Daripada segi kualiti bunyi, ia dilengkapi teknologi pembatalan hingar (noise cancelling) untuk mengurangkan gangguan luar serta EXTRA BASS yang memberikan kualiti audio yang lebih jelas. Baterinya mampu tahan selama 18 jam jika pembatalan hingar dihidupkan dan 26 jam jika ia ditutup. Selain itu, teknologi Adaptive Sound Control akan melaraskan bunyi dengan persekitaran pengguna untuk mutu audio yang terbaik dalam setiap situasi.

Pengguna juga boleh mengawal kelantangan bunyi dengan mudah hanya dengan menyentuh sebelah earphone. Jika sebelah earphone ditanggalkan, audio akan diberhentikan serta-merta. Teknologi lain seperti pembantu suara (voice assistant) yang boleh digunakan untuk Google Assistant dan aplikasi Sony | Headphones Connect akan memudahkan penggunaan earphone ini.

WF-SP800N boleh digunakan untuk peranti Android dan iPhone serta dijual pada harga RM849. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan produk audio Sony ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version