Site icon TechNave BM

Sony lancarkan pemegang kamera baharu, sesuai untuk vlogger

Ramai YouTubers dan vloggers di luar sana gemar menggunakan kamera-kamera Sony untuk merakam detik-detik harian mereka atau pun mencipta sebarang kandungan video yang menarik. Sony sedar akan situasi ini dan syarikat Jepun itu sering melancarkan produk-produk mesra vlogger yang dilengkapi ciri-ciri inovatif, seperti skrin kamera yang boleh diputar 180° untuk rakaman selfie.

Dalam perkembangan terbaru, Sony melancarkan sebuah peranti yang tentunya akan memudahkan tugas-tugas vlogger iaitu sebuah pemegang kamera yang boleh dihubungkan melalui Bluetooth. Pemegang tersebut, GP-VPT2BT, boleh berfungsi dengan siri-siri kamera Alpha A9, A7, A6000, RX100 dan RX0. Ia dilengkapi butang-butang yang mempunyai fungsi asas video dan gambar.

Tidak seperti pemegang kamera Sony sekarang yang dihubungkan kepada kamera dengan wayar, pemegang baharu ini hanya memerlukan Bluetooth dan memberi lebih fleksibiliti kepada pengguna untuk mendapatkan sudut rakaman yang digemari. Untuk rakaman audio yang lebih jelas, pengguna juga boleh memasang mikrofon shotgun pada pemegang tersebut.

Selain itu, pemegang itu juga boleh berfungsi sebagai tripod kecil di mana pengguna boleh memisahkan dua tongkat kecil daripada badan peranti tersebut.

Setakat ini, masih belum ada berita bilakah produk ini akan dipasarkan di Malaysia. Jika anda berminat dengan produk mesra vlogger ini, kongsikan pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version