Site icon TechNave BM

Sony PlayStation 5 disaluti emas 24k dijual untuk golongan bukan biasa-biasa

Terdahulu, Sony telah mengumumkan reka bentuk rasmi Sony PlayStation 5 (PS5) dan sepertinya ia mendapat sambutan yang baik dalam kalangan peminat konsol gaming ini. Terkini, sebuah syarikat yang menawarkan pemilikan peranti teknologi yang diubah suai mengikut citarasa premium, Truly Exquisite telah memperlihatkan reka bentuk PS5 disaluti emas 24K.

Paparan reka bentuk PS5 emas ini bukan hanya dipertontonkan sebagai rekaan semata-mata, namun mereka mungkin akan merealisasikannya. Hal ini kerana anda boleh mendaftar minat untuk membelinya jika anda mampu. Kami mengagak bahawa pendaftaran minat ini adalah kerana Sony masih belum mengumumkan harga PS5 secara rasmi.

Jika emas 24K buka citarasa anda, syarikat tersebut turut menawarkan PS5 dengan 18K Rose Gold atau Platinum. Namun, hanya gambar acahan untuk PS5 sahaja yang terdapat pada laman web rasmi mereka.

Rekaan PS5 ini mungkin kelihatan mustahil untuk dimiliki, namun tidak mustahil untuk golongan ‘berpoket tebal’ atau mempunyai minat mendalam terhadap peranti teknologi dengan rekaan unik. Jika anda berminat, anda boleh mendaftar minat untuk maklumat pra-tempah dan jualan yang akan diberitahu kelak.

Anda boleh membaca berita lepas mengenai PS5 termasuk jangkaan harganya di pautan ini. Jadi, PS5 emas 24K, 18K Rose Gold atau Platinum yang menjadi pilihan anda? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Truly Exquisite melalui cnBeta

Exit mobile version