Site icon TechNave BM

Sony PlayStation Pulse Explore dan Pulse Elite rasmi di Malaysia: Fon telinga dan fon kepala wayarles bermula RM699

Sony telah mengumumkan dua buah produk audio baharu di bawah jenama gaming PlayStation iaitu fon telinga wayarles Sony PlayStation Pulse Explore dan fon kepala wayarles Sony PlayStation Pulse Elite.

Pulse Elite adalah sepasang fon kepala wayarles yang menawarkan audio lossless dan dilengkapi sebatang mikrofon boom mic yang boleh disembunyikan. Sewaktu pengguna bercakap, fon kepala ini mempunyai teknologi pembatalan hingar (noise rejection) yang dikuasakan oleh AI bagi menghasilkan kualiti audio yang lebih jelas.

Sony PlayStation Pulse Elite
Sony PlayStation Pulse Explore

Sementara itu, Pulse Explore pula adalah sepasang fon telinga wayarles yang turut menyediakan pengalaman audio lossless untuk kualiti audio terbaik. Ia mempunyai dua mikrofon yang juga dilengkapi pembatalan hingar (noise rejection) yang dikuasakan oleh AI untuk percakapan yang lebih jelas.

Kedua-dua peranti audio ini menggunakan pemacu magnetik planar (planar magnetic drivers) untuk kualiti audio yang setaraf dengan fon kepala premium yang digemari oleh jurutera audio profesional. Sony mengatakan Pulse Explore adalah antara fon telinga wayarles pertama yang menggunakan pemacu tersebut.

Pulse Elite akan dijual di Malaysia pada harga RM699, manakala Pulse Explore pula dijual pada harga RM999. Pra-tempahan untuknya boleh dibuat bermula hari Jumaat, 24 November 2023 di kedai Sony Centre dan pengedar sah PlayStation Authorised Dealers.

Sony juga akan menawarkan kabel PlayStation Link USB Adapter untuk menghubungkan dua peranti ini dengan konsol mudah alih PlayStation Portal. Kabel ini akan disertakan dalam setiap Pulse Elite dan Pulse Explore, dan ia juga boleh dibeli secara berasingan pada harga RM119.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan produk ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version