Site icon TechNave BM

Sony Project Q diumum: Peranti “gaming” mudah alih dengan skrin 8 inci

Sony mengumumkan bahawa mereka sedang membangunkan sebuah peranti gaming mudah alih yang pada waktu ini dinamakan sebagai Project Q. Peranti ini mempunyai skrin LCD berukuran 8 inci dengan resolusi 1080p dan kadar segar semula 60Hz, serta semua butang dan fungsi yang terdapat pada controller DualSense.

Peranti ini membenarkan pengguna untuk strim game secara langsung daripada konsol PlayStation 5 (PS5) melalui hubungan Wi-Fi. Perlu diingati bahawa ia hanya boleh memainkan game yang telah pun dipasang dalam PS5, jadi ini bermaksud anda memerlukan konsol itu terlebih dahulu dan memiliki game untuk menggunakan Project Q.

Peranti ini tidak boleh memainkan game secara sendiri (native games) seperti dalam Steam Deck, ROG Ally atau telefon pintar gaming. Selain itu, memandangkan peranti ini hanya boleh strim game melalui Wi-Fi, ini mungkin bermaksud anda tidak boleh menggunakannya jika berada di luar.

Sony mengatakan Project Q akan dijual bermula akhir tahun ini, namun harganya masih belum diumumkan.

Selain Project Q, Sony turut mengumumkan fon telinga wayarles pertama oleh PlayStation. Tidak banyak yang dimaklumkan mengenai fon telinga ini, namun Sony mengatakan ia bakal menawarkan kualiti audio lossless dengan kependaman (latency) rendah melalui Bluetooth.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version