Site icon TechNave BM

Sony PS5 dilapor bakal turun harga mula pada pertengahan tahun 2021, hanya ~RM1,405

Sehingga kini, SOny PlayStation 5 (PS5) masih lagi menjadi rebutan setelah habis terjual secara dalam talian mahupun luar talian pada bulan yang lalu. Terdapat sumber kini melaporkan jangkaan bahawa harga konsol PS5 bakal turun bermula pada pertengahan tahun 2021.

Menurut iPrice melalui siaran mengenai masa yang sesuai untuk membeli PS5 dengan lebih murah, sumber menganalisis laporan berdasarkan data harga PS4 Pro yang lepas. Anda boleh lihat harga PS5 yang dijangka bakal turun sehingga USD 469 (~RM1,910) pada Mei 2021, seterusnya USD 432 (~RM1,759) pada November 2021.

Begitu juga dengan PS5 Digital Edition yang diramal bakal turun harga sehingga USD 379 (~RM1,544) pada Mei 2021, disusuli dengan penurunan harga USD 345 (~RM1,405) pada November 2021. Apa pun, perlu diingatkan bahawa jangkaan penurunan harga yang dipaparkan adalah mengikut harga di pasaran AS.

Sumber: iprice

Walau bagaimanapun, kami berpendapat bahawa laporan ini sememangnya hanyalah jangkaan semata-mata. PS5 akan kekal menjadi rebutan memandangkan stoknya juga terhad. Sony tidak mungkin akan menurunkan harga konsol ketika ianya masih menjadi rebutan.

Sepintas lalu, konsol ini dijual di Malaysia dengan harga RM1,869 untuk varian Digital Edition dan RM2,299 untuk varian Ultra HD Blu-Ray. 

Apa pula pendapat anda? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Semak berita lepas mengenai PS5 termasuklah fenomenanya di Malaysia!

Sumber: mysmartprice | iprice

Exit mobile version