Site icon TechNave BM

Sony sahkan pelancaran PlayStation 5 tidak akan dipengaruhi COVID-19

Dalam sebuah kenyataan akhbar khas tentang situasi wabak COVID-19, Sony telah memberi maklumat tentang keadaan semua operasinya pada waktu ini. Bagi sektor game, syarikat Jepun itu mengesahkan bahawa keadaan terkini tidak akan menjejaskan sektor itu pada tahun ini. Ini adalah berikutan beberapa kilang Sony di China yang sudah pun memulakan operasi secara perlahan-lahan sejak 10 Februari lalu.

Walau bagaimanapun, Sony akan melihat jika pelancaran beberapa tajuk game perlu ditangguhkan, terutamanya game yang dibina oleh studio di Eropah dan Amerika Syarikat.

Selain itu, Sony juga melaporkan bahawa pengilangan sensor imej CMOS tidak terjejas setakat ini. Walau bagaimanapun, sektor muzik, perfileman, dan produk elektronik yang dikelolakan oleh Sony telah mengalami penurunan operasi sejak wabak ini berlaku.

Dalam pada itu, Sony juga telah menutup kilangnya di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang daripada 18 Mac sehingga 14 April, selari dengan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan Malaysia.

Beri pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Sony Press Statement

Exit mobile version