Site icon TechNave BM

Sony umumkan ‘controller’ baru untuk PlayStation 5

Sony hari ini mengumumkan controller baru untuk konsol PlayStation 5 yang akan dikeluarkan lewat tahun ini, iaitu controller wayarles DualSense.

Antara perkara yang telah ditambah baik dalam DualSense daripada DualShock 4 ialah Sony memperkenalkan tindak balas haptic (haptic feedback) di mana controller akan bergetar secara halus mengikut situasi game yang sedang dimainkan.

Butang L2 dan R2 pula kini adalah butang yang boleh bertindak balas (adaptive triggers) bagi meningkatkan pengalaman gaming agar lebih imersif.

Butang Share yang terdapat dalam DualShock 4 untuk berkongsi klip video gameplay pula telah digantikan dengan butang Create, namun Sony masih belum memberi sebarang maklumat tentang ini.

DualSense juga dilengkapi mikrofon dalaman namun Sony masih mengesyorkan pemain untuk menggunakan headphone jika mereka bercadang untuk bercakap dalam masa yang lama.

Daripada segi estetika pula, corak warna DualSense juga berlainan dengan model-model DualShock sebelum ini, di mana DualSense menampilkan dua warna pada satu controller. Dalam gambar yang telah dikongsi oleh Sony, DualSense mempunyai warna putih dan hitam. Selain itu, kedudukan garisan cahaya (light bar) juga telah dialihkan di mana kini ia berada di tepi touchpad.

Apakah pendapat anda tentang controller baru PlayStation ini? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: PlayStation

Exit mobile version