Site icon TechNave BM

Sony Xperia 1 III, 5 III dan 10 III muncul di laman web Sony Malaysia, harga bermula RM1,999

Sony telah melancarkan telefon pintar Sony Xperia 1 III, 5 III dan 10 III beberapa bulan yang lalu. Kini, ketiga-tiga peranti ini dilihat telah disenaraikan di laman web Sony Malaysia dengan tanda harga rasminya.

Mengikut halaman produk, Sony Xperia 1 III akan dijual pada tanda harga RM5,799 menjadikannya lebih mahal dari generasi yang lalu. Xperia 1 III dilengkapi skrin 6.5 inci 4K HDR OLED, kadar segar semula 120Hz dan ketahanan kaca Gorilla Glass Victus. Ia dikuasai oleh Snapdragon 888 5G, RAM 12GB, bateri 4,500 yang menyokong pengecasan pantas 30W dan hadir dengan ciri kalis air IP68.

Peranti ini juga menyokong pengecasan wayarles Qi dan storan 256GB yang boleh ditambah sehingga 1TB melalui kad microSD. Dari segi kamera, ia menggunakan kuad kamera dengan kamera utama 12MP, kamera ultra lebar 12MP, kamera telefoto 12MP OIS dan sensor kedalaman 0.3MP ToF. Pada bahagian depan adalah sensor 8MP.

Untuk Sony Xperia 5 III pula, ia disenaraikan dengan tanda harga RM4,599. Spesifikasinya hampir sama dengan Xperia 1 III, cuma perbezaan pada saiz skrinnya iaitu skrin 6.1 inci OLED FHD+, ketahanan kaca Gorilla Glass 6, ketiadaan sensor ToF, RAM 8GB dan ketiadaan pengecasan wayarles Qi.

Manakala Sony Xperia 10 III pula hadir dengan tanda harga RM1,999. Peranti ini adalah peranti kelas pertengahan yang dikuasai oleh cipset Snapdragon 690 5G. Ia juga dilengkapi skrin 6.0 inci OLED FHD+, RAM 6GB dan beberapa spesifikasi lain yang lebih rendah berbanding Xperia 1 III dan 5 III.

Buat masa ini, ketiga-tiga peranti masih lagi belum boleh dibeli dan dijangka akan tiba ke pasaran Malaysia dalam masa yang terdekat.

Adakah anda meminati peranti andalan Sony ini? Berikan komen anda di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version