Site icon TechNave BM

Sony Xperia 10 VI dilancar: Telefon pertengahan dengan skrin OLED 21:9, SD 6 Gen 1, bateri 5,000mAh

Selain melancarkan telefon pintar andalan Xperia 1 VI pada hari ini, Sony turut melancarkan telefon pintar kelas pertengahan Sony Xperia 10 VI. Tidak seperti Xperia 1 VI yang mempunyai skrin dengan nisbah aspek yang lebih serupa dengan kebanyakan telefon lain, Xperia 10 VI mengekalkan nisbah aspek 21:9 yang membuatkannya nampak lebih panjang.

Skrinnya menggunakan panel OLED berukuran 6.1 inci dengan resolusi Full HD+ dan kadar segar semula 60Hz. Kacanya dibuat dengan Corning Gorilla Glass Victus untuk ketahanan yang tinggi, manakala keseluruhan badan telefon ini dibuat daripada plastik dan mempunyai rating kalis air IP65/IP68.

Pilihan warna Xperia 10 VI

Untuk audio, ia mempunyai pembesar suara stereo dan turut mempunyai bicu audio 3.5mm jika anda berminat dengan fon telinga berwayar. Anda juga boleh gunakan fon telinga wayarles untuk dihubungkan secara Bluetooth dengan LDAC dan DSEE Ultimate untuk kualiti audio yang jelas.

Spesifikasi dalamannya pula terdiri daripada cipset Qualcomm Snapdragon 6 Gen 1, RAM 8GB, bateri 5,000mAh dan pengecasan pantas 30W.

Kameranya terdiri daripada kamera utama 48MP dan kamera ultra-lebar 8MP. Ia tidak lagi mempunyai kamera telefoto seperti dalam Xperia 10 V sebelum ini, namun Xperia 10 VI mempunyai penstabilan imej optikal (OIS) dan zum dalam sensor (in-sensor zoom) sebanyak 2x. Di hadapan, ia mempunyai kamera swafoto 8MP.

Ringkasan spesifikasi Xperia 10 VI

Sony Xperia 10 VI akan dilancar untuk pasaran Malaysia pada bulan Ogos 2024. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version