SpaceX secara rasminya telah melancarkan satelit Starlink Mini yang telah disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Elon Musk awal minggu ini. Keluaran ini memperkenalkan kit Mini serta pelan perayauan Mini baharu sebagai tambahan pilihan tetapi ia disertakan dengan syarat.
Starlink Mini ialah kit kompak untuk mudah alih kerana SpaceX mendakwa ia boleh dimuatkan dengan mudah dalam beg galas. Pada masa ini, pembelian hanya boleh dilakukan melalui jemputan e-mel sahaja. Starlink Mini mempunyai penghala Wi-Fi terbina dalam dengan penggunaan kuasa yang lebih rendah, input kuasa DC dan menyediakan kelajuan muat turun melebihi 100Mbps.
Ia juga boleh beroperasi pada suhu -30°C hingga 50°C dengan penghantaran akan bermula pada bulan Julai. Kit Mini akan berharga AS$599 (~RM2,824) iaitu dua kali ganda harga permulaan kit standard pada AS$299 (~RM1,407).
Terdapat juga perkhidmatan Mini Roam baharu dengan tambahan AS$30/bulan (~RM140) untuk 50GB data mudah alih di AS tetapi pelanggan mesti mengekalkan pelan perkhidmatan Kediaman mereka untuk menggunakan Mini Roam.
Belum ada maklumat lagi bila Starlink Mini baharu ini akan tersedia di Malaysia, tetapi memandangkan kit standard berharga lebih 60% di sini berbanding AS, kita boleh mengandaikan bahawa kit Mini akan dijual pada harga yang sangat mahal yang melebihi RM2,800.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

