Site icon TechNave BM

Spesifikasi ASUS ROG Phone 3 didedahkan, mungkin dilengkapi skrin 144Hz, Snapdragon 865 & RAM 16GB

Nampaknya pelbagai berita tentang telefon pintar gaming ASUS ROG 3 muncul dengan lebih banyak sejak bulan ini dan kini butiran lanjut tentang spesifikasi peranti tersebut mungkin telah dikeluarkan.

Menurut sumber di weibo, ASUS ROG 3 bakal dilengkapi skrin OLED 6.59 inci 120Hz atau 144Hz, cipset Snapdragon 865 versi 3.09GHz, RAM 16GB, bateri 6,000mAh dan pengecasan pantas 30W. Kameranya pula merangkumi tiga kamera dengan kamera utama 64MP. Daripada segi dimensi, ia mempunyai berat 240g dan kenipisan 9.85mm.

Jika spesifikasi tersebut adalah benar, ini membuatkan ASUS ROG 3 mirip sebuah lagi telefon pintar gaming unggul, Black Shark 3, yang mempunyai skrin 6.67 inci, Snapdragon 865, pengecasan pantas 30W dan tiga kamera 64MP. Namun dalam beberapa aspek lain, ROG 3 dilengkapi perkakasan yang lebih baik dengan skrin 120Hz dan RAM 16GB.

Sebelum ini, kerajaan China sudah pun mengesahkan bahawa ASUS ROG 3 akan mempunyai bateri 5,800mAh, manakala di TENAA pula ia disahkan akan mempunyai skrin AMOLED 6.59 inci, berat 240g, pengecasan pantas 30W, RAM sehingga 16GB, storan sehingga 512GB dan kamera utama 64MP. Memandangkan spesifikasi TENAA ini menyerupai sumber weibo di atas, mungkin sumber weibo ini ada benarnya.

Namun perlu diketahui bahawa spesifikasi ini masih lagi sebuah spekulasi yang tidak disahkan oleh ASUS. Kongsi pendapat anda tentang spesifikasi ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: weibo

Exit mobile version