Site icon TechNave BM

Spesifikasi dan gambar Samsung Galaxy A52 5G terbocor sebelum pelancaran

Telefon kelas pertengahan Samsung Galaxy A52 5G dijangka akan dilancarkan pada bulan ini. Namun, sebelum ianya dilancarkan secara rasmi, spesifikasi penuh dan gambar rasmi Galaxy A52 5G sudah muncul di dalam talian.

Terbaru, peruncit di Arab Saudi telah memuat naik halaman web jualan yang menunjukkan gambar Galaxy A52 5G dengan spesifikasinya. Berdasarkan penyenaraian tersebut, Galaxy A52 5G akan menggunakan skrin 6.5 inci Super AMOLED dengan resolusi 1080 x 2400 piksel. Penyenaraian tersebut tidak menunjukkan sebarang kadar segar semula tapi ia dijangka akan hadir dengan kadar segar semula 120Hz.

Untuk cipset pula, Galaxy A52 5G ini dilihat hadir dengan cipset Snapdragon 750G bersama RAM 8GB dan storan 128GB. Terdapat juga ruang slot microSD untuk tambahan storan sehingga 1TB (kad slot jenis hibrid).

Selain itu, peranti ini akan hadir dengan kamera utama 64MP yang mampu merekod video 4K. Ia juga ditemani dengan kamera ultra lebar 12MP, kamera makro 5MP dan sensor kedalaman 5MP. Untuk bahagian depan, ia hadir dengan kamera swafoto 32MP.

Galaxy A52 5G juga dilihat menggunakan bateri 4,500 mAh yang menyokong pengecasan pantas 25W. Namun, bicu audio 3.5mm tidak kelihatan pada peranti ini.

Untuk harga pula, peranti ini disenaraikan pada tanda harga SAR 1,650 (~RM1,790), iaitu harga yang sama dengan khabar angin sebelum ini. Galaxy A52 5G dikhabarkan akan dilancarkan tidak lama lagi bersama Galaxy A52 versi 4G dan Galaxy A72 5G.

Adakah anda berminat dengan Galaxy A52 5G ini? Berikan komen anda di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber : 1 | 2

Exit mobile version