Site icon TechNave BM

Spesifikasi dan reka bentuk OPPO Find X5 didedah, miliki cipset SD 888 dan tri-kamera 50MP bermula ~RM4,785

Minggu lepas, pendedahan dan spekulasi OPPO Find X5 Pro semakin menular. Kini, paparan dan spesifikasi varian standard OPPO Find X5 telah muncul memberikan kami gambaran terperinci tentang reka bentuk dan cirinya.

Secara luaran, Find X5 hampir sama dengan Find X5 Pro yang menampilkan skrin melengkung dengan potongan lubang tebuk (punch-hole) di sebelah kiri atas untuk kamera swafoto. Butang kuasa terletak di sebelah kanan manakala butang pembesar suara hadir di sebelah kiri. Kameranya sama seperti varian Pro dengan sedikit perubahan di bahagian bingkai yang nipis di bahagian luar kamera yang tidak terdapat pada Find X5 Pro. 

Berdasarkan WinFuture, varian standard akan menampilkan cipset Snapdragon 888 dan paparan antara muka ColorOS 12.1. Ia menawarkan satu konfigurasi memori di pasaran Eropah iaitu LPDDR5 RAM 8GB dan storan UFS 3.1 256GB. Peranti ini akan menampilkan skrin AMOLED 6.55 inci 2400 x 1080p dengan kadar penyegaran semula 120Hz dan perlindungan Corning Gorilla Glass 7. 

Tri-kamera pada peranti sama seperti model Pro menggunakan dua sensor Sony IMX766 50MP berfungsi sebagai kamera utama dan ultra-lebar. Kedua-dua unit kamera ini akan menampilkan penstabilan imej optikal manakala kamera ketiga membawa lensa telefoto 13MP dengan zum hibrid 5x dan zum digital 20x. Kamera hadapan pula akan mempunyai sensor Sony IMX615 32MP.

Kamera akan hadir dengan penalaan Hasselblad dan akan menggunakan MariSilicon X Imaging NPU yang baru dibangunkan untuk pemprosesan imej, aplikasi dan peningkatan berasaskan AI. OPPO akan menawarkan bateri 4800mAh dengan sokongan pengecasan pantas 80W dan keupayaan pengecasan wayarles. 

Ia akan mempunyai  sambungan 5G, WiFi 6, Bluetooth 5.2 dan NFC. Ia dilengkapi ciri kalis habuk dan air IP54 pada model standard X5 yang tidak setanding dengan IP68 pada Find X5 Pro. Harga peranti itu dianggar sekitar 1000 Euro (~RM4,785) untuk pasaran Eropah.

Nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia dan kongsikan pendapat anda di Facebook kami.

Sumber: Gizmochina

Exit mobile version