Site icon TechNave BM

Spesifikasi iPad 10.5 (2021) bocor, cipset A13 Bionic, mungkin lebih murah serendah ~RM1211

Pada tahun ini, Apple telah melancarkan beberapa model tablet mereka termasuklah iPad 10.2 (2020), iPad Air (2020) dan iPad Pro (2020). Antara kesemua tablet yang dikeluarkan pada tahun ini, iPad 10.2 (2020) adalah yang termurah dengan tanda harga serendah RM1,449.

Terbaru, sumber menyatakan bahawa iPad 10.2 (2020) ini bakal mendapat penggantinya pada awal tahun hadapan dan ianya akan hadir dengan tanda harga yang lebih murah.

iPad generasi ke 8 (2020) itu dilengkapi skrin 10.2 inci Retina yang dikuasai oleh cipset Apple A12 Bionic, cipset yang sama digunakan oleh siri iPhone X. Namun, untuk tablet baru ini, ia akan hadir dengan skrin yang lebih besar, 10.5 inci dengan butang home yang menyokong pengesanan cap jari, Touch ID.

Selain daripada itu, tablet baru Apple ini akan menggunakan cipset A13 Bionic iaitu cipset yang digunakan pada siri telefon iPhone 11. Ia juga dikatakan akan hadir dengan RAM 4GB dan mempunyai reka bentuk yang lebih ringan dan lebih nipis.

Yang menarik perhatian adalah tanda harganya yang dijangka akan turun dari $329 (~RM1333) ke $299 (~RM1211). Tanda harga yang lebih murah ini mungkin adalah untuk saiz storan terendah, 32GB.

Adakah anda berminat dengan peranti tablet dari Apple ini? Komen pendapat anda di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi utama.

Sumber : Gizmochina

Exit mobile version