Site icon TechNave BM

Spesifikasi lengkap Samsung Galaxy Buds2 tertiris, memiliki sambungan Bluetooth 5.2

Samsung sedang bersiap sedia untuk acara rasmi 11 Ogos ini dimana mereka bakal melancarkan dua buah telefon pintar baharu, jam tangan pintar serta fon telinga Galaxy Buds2. Tetapi belum sampai hari pelancaran rasminya, spesifikasi lengkap Galaxy Buds2 telah tertiris.

Melalui satu kicauan yang dibuat oleh Snoopy dalam laman Twitter-nya, beliau berkongsi spesifikasi lengkap fon telinga wayarles Galaxy Earbud2. Earbuds wayarles baharu ini menyokong Bluetooth 5.2 dan menampilkan kemasan berkilat. Earbuds ini akan tiba dengan sokongan pembatalan bunyi hingar aktif (ANC) dan mod ambien. Setiap earbuds mempunyai 3 mikrofon dan memiliki ciri pengecasan wayarles Qi serta rating tahan air IPX7.

Jangka hayat bateri untuk Galaxy Buds2 ini boleh bertahan sehingga 5 jam apabila mod ANC diaktifkan dan penggunaan sehingga 8 jam jika ANC dimatikan. Kotak pengecasan yang disediakan memberi tambahan 13 jam dengan ANC aktif dan 20 jam jika ANC dimatikan. Earbuds ini mempunyai storan kuasa 61mAh sementara kotak pengecasan mengandungi kuasa tambahan sebanyak 472mAh. Pengecasan selama 5 minit membolehkan pendengar untuk meneruskan penggunaan sehingga 55 minit.

Sama seperti generasi sebelumnya, earbuds ini juga menggunakan dua pemacu dengan woofer 11mm dan tweeter 6.5mm. Perlu diingat bahawa ini cuma khabar angin dan maklumat yang belum disahkan.

Nantikan berita lanjut mengenai peranti ini di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Gizmochina

Exit mobile version