Site icon TechNave BM

Spesifikasi OPPO Reno7 tertiris, mungkin dilengkapi sensor kamera Sony IMX766, skrin AMOLED 90Hz

Siri telefon pintar kelas pertengahan OPPO Reno6 baru sahaja dilancar untuk pasaran Malaysia pada bulan Ogos lalu dan kini maklumat awal tentang sekuelnya, OPPO Reno7, sudah mula tertiris.

Menurut sumber, antara spesifikasi utama adalah kamera utama yang dilengkapi sensor Sony IMX766 50MP, iaitu sensor sama yang dilengkapi dalam Reno6 Pro, OPPO Find X3, vivo X70, OnePlus Nord 2 dan banyak lagi. Selain itu, Reno7 mungkin akan dilengkapi kamera ultra-lebar dengan sensor Sony IMX355 8MP, kamera hitam putih 2MP dan kamera hadapan dengan sensor Sony IMX615 32MP.

Spesifikasi awal daripada pengkhabar berita teknologi di Weibo

Untuk spesifikasi dalaman pula, ia mungkin dilengkapi cipset MediaTek Dimensity 920, RAM LPDDR4X, storan UFS 3.1 dan sistem penyejukan kamar wap (vapor chamber liquid cooling). Skrinnya pula mungkin adalah AMOLED Full HD+ berukuran 6.5 inci dengan kadar 90Hz dan sokongan warna 10 bit.

Baterinya pula berkapasiti 4,500mAh dan menyokong pengecasan pantas 65W. Rangka telefon ini dikhabarkan akan dibuat dengan aluminium 6000, kaca crystal diamond di belakang dan kaca Gorilla Glass di hadapan.

Harganya juga telah dikhabarkan, bermula CNY2,999 (~RM1,940) untuk 8GB+256GB dan CNY3,299 (~RM2,130) untuk 12GB+256GB. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version