Site icon TechNave BM

Spesifikasi penuh HONOR X20 5G diumum, dilengkapi Dimensity 900, skrin LCD 120Hz, cas pantas 66W

Telefon pintar HONOR X20 5G dijadual untuk dilancarkan pada 12 Ogos, namun HONOR telah pun menyenaraikan spesifikasinya terlebih dahulu dalam laman web HONOR China.

HONOR X20 5G bakal dilengkapi skrin LCD berukuran 6.67 inci dengan resolusi Full HD+ (2376×1080), kadar segar semula 120Hz, nisbah skrin-ke-badan sebanyak 94.4% dan gamut warna DCI-P3. Untuk spesifikasi dalaman pula, ia terdiri daripada cipset MediaTek Dimensity 900, bateri 4,300mAh, pengecasan pantas 66W, RAM 6GB dan storan dalaman 128GB.

Daripada segi fotografi, HONOR X250 mempunyai kamera utama 64MP, sensor kedalaman 2MP dan kamera makro 2MP, manakala di hadapan pula terdapat kamera swafoto 16MP. Kamera ini dilengkapi penstabilan imej elektronik (EIS) untuk mengurangkan gegaran dalam video serta sokongan zum digital 10x.

Ia turut dilengkapi perisian Magic UI 4.2 berdasarkan Android 11, sokongan dwi-kad SIM, pengimbas cap jari dalam skrin serta bicu audio 3.5mm. Walaupun spesifikasinya sudah didedahkan, harganya masih belum diketahui setakat ini.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk memiliki HONOR X20 5G dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: HONOR

Exit mobile version