Site icon TechNave BM

Spesifikasi penuh OnePlus 10 Pro tertiris, mungkin dilengkapi Snapdragon 8 Gen1, skrin QHD+ 120Hz

Dengan tahun 2021 yang semakin berakhir, kita boleh jangkakan lebih banyak maklumat tentang siri telefon pintar andalan yang akan dilancar pada tahun hadapan. Kini, reka bentuk dan spesifikasi penuh untuk telefon pintar andalan seterusnya oleh OnePlus iaitu OnePlus 10 Pro sudah tertiris.

OnePlus 10 Pro dijangka bakal dilengkapi skrin dengan resolusi Quad HD+ serta kadar segar semula 120Hz. Ia akan dilengkapi cipset andalan seterusnya oleh Qualcomm iaitu Snapdragon 8 Gen1 yang bakal dilancar pada 30 November, RAM LPDDR5 8GB atau 12GB serta storan UFS3.1 128GB atau 256GB.

Ia juga dikhabarkan bakal dilengkapi bateri 5,000mAh yang menyokong pengecasan pantas 125W. Daripada segi kamera pula, OnePlus 10 Pro akan mengekalkan penjenamaan Hasselblad yang diperkenalkan dalam OnePlus 9 dan terdiri daripada kamera utama 48MP, kamera ultra-lebar 50MP, kamera telefoto 8MP dan kamera swafoto 32MP.

Satu perkara yang sangat menarik adalah pada reka bentuknya, di mana ia menampilkan bonggol kamera berbentuk segi empat sama yang menempatkan tiga lensa serta satu lampu kilat. Ia juga akan mempunyai bahagian sisi yang melengkung dan rating kalis air IP68.

Siri OnePlus 10 dijangka akan dilancar pada bulan Januari atau Februari 2022. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan OnePlus 10 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: 91Mobiles

Exit mobile version