Site icon TechNave BM

Spesifikasi penuh realme GT Neo 5 tertiris, terdiri daripada 2 varian, cas pantas sehingga 240W

Baru-baru ini, realme mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan siri telefon pintar andalan realme GT Neo 5 yang bakal menjadi telefon pertama dengan teknologi pengecasan pantas 240W. Kini, spesifikasi penuh untuk siri telefon itu telah disenaraikan dalam pengiktirafan TENAA China.

Siri realme GT Neo 5 mungkin akan ditawarkan dalam dua varian utama dengan nombor model RMX3706 dan RMX3708. Dua varian ini mempunyai saiz bateri yang berbeza, di mana RMX3706 mempunyai kapasiti 4,850mAh manakala RMX3708 pula berkapasiti 4,450mAh.

Berdasarkan maklumat sebelum ini, varian realme GT Neo 5 dengan pengecasan 240W akan ditawarkan dengan kapasiti bateri 4,600mAh, manakala sebuah lagi varian akan mempunyai pengecasan yang lebih rendah sedikit iaitu 150W dengan kapasiti bateri 5,000mAh.

Kedua-dua telefon akan mempunyai skrin AMOLED berukuran 6.74 inci dengan resolusi FullHD+ (2772×1240) dan pengimbas cap jari dalam skrin, cipset lapan teras dengan kelajuan clock 3GHz, kamera 50MP+8MP+2MP serta kamera swafoto 16MP.

Untuk memori pula, pilihan RAM terdiri daripada 8GB, 12GB dan 16GB, manakala storannya terdiri daripada 128GB, 256GB, 512GB dan 1TB. Setakat ini masih tiada maklumat rasmi mengenai tarikh pelancaran untuk realme GT Neo 5.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version