Site icon TechNave BM

Spesifikasi realme C51 tertiris, bakal dilancar dalam masa terdekat

Siri telefon pintar bajet realme C merupakan salah satu daripada siri telefon pintar yang sangat popular kerana harganya yang mampu milik dan dilengkapi spesifikasi yang agak bagus. Selepas melancarkan realme C53 pada bulan lalu, kini realme dikhabarkan akan melancarkan model seterusnya iaitu realme C51.

Telefon tersebut bakal diperkenalkan buat kali pertama di India dalam masa terdekat dan kini rekaan serta spesifikasi penuh untuk realme C51 telah tertiris. Menurut pengkhabar berita teknologi Paras Guglani, ia bakal ditawarkan dalam warna Mint Green dan Carbon Black serta mempunyai rekaan yang serupa dengan telefon realme C lain.

Menurut spesifikasi itu, telefon ini akan dilengkapi cipset Unisoc T612 yang boleh dihubungkan dengan rangkaian 4G. Skrinnya pula mempunyai panel IPS LCD berukuran 6.7 inci dengan kadar segar semula 90Hz, manakala memorinya pula terdiri daripada RAM 4GB dan storan dalaman 64GB yang boleh dibesarkan dengan kad memori microSD sehingga 2TB.

Baterinya pula berkapasiti 5,000mAh yang boleh menyokong pengecasan pantas sehingga 33W. Sistem operasinya adalah Android 13 dengan antara muka realme UI T.

Kameranya pula terdiri daripada kamera utama 50MP, kamera ultra-lebar 8MP dan sebuah lagi kamera 5MP. Memandangkan kebanyakan telefon pintar bajet tidak dilengkapi kamera ultra-lebar, kewujudan kamera ultra-lebar dalam realme C51 adalah fungsi yang sangat menarik untuk pengguna.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version