Site icon TechNave BM

Spesifikasi realme GT Neo2 tertiris, mungkin dilengkapi Snapdragon 870, skrin AMOLED 120Hz

realme telah melancarkan telefon pintar andalan realme GT Neo pada bulan Mac 2021 di mana ia merupakan telefon pertama yang dilengkapi cipset MediaTek Dimensity 1200. Kini seorang eksekutif realme China telah mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan sekuelnya iaitu realme GT Neo2 dalam masa terdekat.

Eksekutif tersebut tidak mengesahkan spesifikasinya namun beberapa laman web telah mendedahkan spesifikas awal untuk telefon itu. Ia mungkin akan dilengkapi skrin AMOLED berukuran 6.62 inci dengan resolusi Full HD+ dan kadar segar semula 120Hz.

Daripada segi cipset, ia dikhabarkan akan dilengkapi cipset Snapdragon 870 iaitu cipset yang lebih berkuasa berbanding Dimensity 1200 namun tidak setaraf dengan Snapdragon 888 yang dilengkapi dalam realme GT. Memorinya terdiri daripada RAM 8GB dan storan 128GB.

Untuk fotografi pula, ia mungkin dilengkapi kamera utama 64MP, kamera ultra-lebar 8MP dan kamera makro 2MP, manakala di hadapan pula adalah kamera swafoto 16MP. Bateri pula mungkin mempunyai kapasiti 5,000mAh iaitu yang terbesar dalam siri realme GT setakat ini.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon realme ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Digit.in

Exit mobile version