Site icon TechNave BM

Spesifikasi Realme X50 5G diumumkan oleh pihak berkuasa China

Telefon pintar Realme X50 5G yang akan dikeluarkan bermula 7 Januari sudah pun mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Industri & Teknologi Maklumat China (TENAA) dan spesifikasi penuh peranti tersebut juga telah diumumkan dalam proses pengiktirafan tersebut.

Laman sesawang TENAA mendedahkan bahawa X50 5G akan dilengkapi dengan skrin HD penuh (FHD) TFT berukuran 6.57 inci. Peranti setebal 8.9mm dan seberat 202g itu juga mempunyai pengimbas cap jari yang diletakkan di bahagian sisi telefon.

Telefon pintar yang dikuasai oleh pemproses Snapdragon 765G itu akan ditawarkan dengan tiga pilihan RAM iaitu 6GB, 8GB dan 12GB, manakala storan turut diberikan tiga pilihan iaitu 64GB, 128GB dan 256GB. Perlu diingati juga bahawa telefon ini tidak mempunyai ruang kad microSD untuk membesarkan storannya.

X50 5G juga akan dilengkapi dengan Android 10 dan bateri berkapasiti 4,100 mAh yang mampu bertahan selama dua hari dan menyokong teknologi pengecasan pantas VOOC 4.0, menurut syarikat pengeluar telefon itu.

Dalam sudut fotografi pula, peranti itu mempunyai empat kamera di bahagian belakang yang merangkumi empat megapiksel berlainan iaitu 64MP, 12MP, 8MP dan 2MP, manakala bahagian depan pula mempunyai dua kamera dengan modul 16MP dan 8MP.

Telefon tersebut akan datang dengan empat pilihan warna iaitu biru, ungu, hitam dan emas. Adakah anda merasakan bahawa anda akan membeli produk terbaru yang akan dikeluarkan oleh Realme ini? Beritahu kami di laman Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita telefon pintar terkini!

Sumber: GSMArena

Exit mobile version