Site icon TechNave BM

Spesifikasi SD Card baru mampu pindahkan fail secepat 4GB sesaat

Kad memori SD Express kini mempunyai spesifikasi baru, SD8.0, yang mampu memindahkan fail pada kadar secepat empat gigabyte sesaat, menggunakan pengantaraan (interface) PCIe 4.0 dan NVMe yang terdapat dalam pemacu solid-state (SSD). Spesifikasi baru ini diperkenalkan oleh SD Association, sebuah pertubuhan yang bertanggungjawab menetapkan piawaian kad memori.

Menurut sebuah laporan daripada SD Association, SD8.0 boleh memindahkan fail pada kadar 3,938MB sesaat, jauh lebih laju daripada 985MB sesaat yang terdapat dalam SD7.1 yang dibina pada tahun lepas. Spesifikasi ini akan dilengkapi dalam kad memori SDHC (2GB-32GB), SDXC (32GB-2TB) dan SDUC (2TB-128TB). Setakat ini kad microSD masih tidak menyokong PCIe 4.0, jadi ia tidak boleh dilengkapi spesifikasi SD8.0.

Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna kad SD8.0 boleh dibeli dalam masa terdekat. Pengguna perlu menunggu syarikat kad memori untuk menghasilkan kad tersebut, selain menunggu peranti-peranti elektronik yang mampu menyokong spesifikasi SD8.0 dan pengantaraannya.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk membeli kad SD8.0 apabila ia dijual nanti dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version