Site icon TechNave BM

Spesifikasi siri Redmi Note 10 tertiris dalam talian, mungkin dilengkapi cipset Snapdragon 768G

Pada tahun lalu, Xiaomi telah melancarkan telefon siri Redmi Note 9 yang terdiri dari Redmi Note 9, Redmi Note 9S dan juga Redmi Note 9 Pro. Kini, mereka pula dilaporkan akan melancarkan generasi baru siri Redmi Note 10 pada 4 Mac ini.

Beberapa hari sebelum ia dilancarkan, beberapa spesifikasi penting siri Redmi Note 10 telah muncul dalam talian. Siri ini dikatakan akan hadir dengan tiga model iaitu Redmi Note 10, Redmi Note 10 Pro 4G dan Redmi Note 10 Pro Max 5G.

Untuk Redmi Note 10, ia dikhabarkan mempunyai nombor model M2101K7A yang dilengkapi dengan cipset Snapdragon 678. Ia juga mungkin hadir dengan skrin IPS LCD serta kamera kuad 48MP.

Ia mungkin ditawarkan dengan dua varian (RAM 4GB + storan 64GB, RAM 6GB + storan 128GB) dan beberapa pilihan warna iaitu Pebble White (Putih), Lake Green (Hijau), Aqua Green (Hijau), Frost White (Putih) dan Shadow Black (Hitam)

Untuk Redmi Note 10 Pro pula, ia datang dengan nombor model M2101K61 dan dilengkapi cipset Snapdragon 732G. Selain itu, ia juga mungkin hadir dengan kamera kuad 64MP dan skrin IPS LCD dengan kadar segar semula 120Hz. Untuk bateri, ia mungkin dilengkapi bateri 5,050 mAh.

Model ini dikatakan akan hadir dengan tiga varian (RAM 6GB + storan 64GB, RAM 6GB + storan 128GB, RAM 8GB + storan 128GB) dan pilihan warna Glacier Blue (Biru), Vintage Bronze (Gangsa), Onyx Gray (Kelabu) dan Dark Night (Hitam).

Sedikit berbeza dengan versi Pro, Redmi Note 10 Pro Max 5G hadir dengan cipset Snapdragon 768G 5G bersama kamera kuad 108MP. Spesifikasi lain model ini adalah sama seperti versi Pro.

Model ini dikhabarkan akan hadir dengan dua varian (RAM 6GB + storan 128GB, RAM 8GB + storan 128GB) dan pilihan warna yang sama seperti versi Pro.

Perlu diingatkan, semua spesifikasi ini adalah dari sumber tidak rasmi dan spesifikasi akhir peranti ini mungkin berbeza daripada yang dilaporkan.

Adakah anda menantikan siri Redmi Note 10 ini? Nantikan berita lanjut mengenai siri ini di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber : Gizmochina

Exit mobile version