Site icon TechNave BM

Spesifikasi tablet vivo tertiris, mungkin dilengkapi Snapdragon 870 dan bateri 8,000mAh

vivo dikhabarkan bakal melancarkan tabletnya yang pertama pada tahun ini dan ia dijangka bakal dilengkapi cipset Snapdragon 870. Menurut pengkhabar berita teknologi Digital Chat Station, beliau mendedahkan beberapa lagi spesifikasi tablet itu termasuk harganya.

Tablet vivo itu dijangka bakal mempunyai skrin dengan kadar segar semula 120Hz dan bateri 8,000mAh. Sebelum ini, sebuah tablet vivo telah pun mendapat pengiktirafan TUV Rheinland di mana ia disenaraikan dengan bateri 8,040mAh.

Beliau juga mengatakan tablet itu menyokong kadar pengecasan pantas 44W dan akan dijual pada harga CNY2,000 (~RM1,325) di China.

vivo merupakan salah satu jenama telefon pintar yang berada bawah naungan BBK Electronics. Sebelum ini, sebuah jenama yang turut berada di bawah naungannya iaitu realme telah pun melancarkan tabletnya yang pertama. Sebuah lagi syarikat BBK, OPPO, juga dikhabarkan bakal melancarkan tablet pertama.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version