Site icon TechNave BM

Spesifikasi vivo X Fold2 tertiris, dilengkapi cipset Snapdragon 8 Gen 2, skrin 8.03 inci

vivo bakal melancarkan telefon pintar lipat vivo X Fold2 dan vivo X Flip, di mana vivo X Fold2 mempunyai engsel menegak untuk lipatan seperti buku, manakala vivo X Flip mempunyai engsel mendatar untuk lipatan clamshell. Ini bakal menjadi telefon lipat kedua oleh vivo, selepas vivo X Fold pertama dilancar di China pada April 2022.

Kini spesifikasi untuk vivo X Fold2 telah tertiris, berdasarkan beberapa poster pengiklanan dari China. Telefon lipat itu bakal dilengkapi skrin utama berukuran 8.03 inci dengan resolusi 2160×1916 dan kadar segar semula 120Hz.

Skrin ini mempunyai spesifikasi yang sama dengan vivo X Fold sebelum ini, namun satu pembaharuan ialah vivo X Fold2 bakal mempunyai kecerahan puncak 1,800 nits, jauh lebih tinggi daripada 1,100 nits pada vivo X Fold.

Skrin luaran vivo X Fold2 pula berukuran 6.53 inci dengan resolusi 2520×1080 dan kadar segar semula 120Hz, manakala kecerahan puncaknya ialah 1,600 nits.

Untuk spesifikasi dalaman, vivo X Fold2 dikhabarkan bakal dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2, menjadikannya telefon lipat pertama yang dilengkapi cipset tercanggih oleh Qualcomm pada waktu ini. Memorinya bakal terdiri daripada RAM LPDDR5X dan storan UFS 4.0.

Baterinya mempunyai kapasiti 4,800mAh yang menyokong pengecasan pantas berwayar 120W dan pengecasan wayarles 50W. Ini adalah kadar pengecasan yang terpantas untuk kategori telefon lipat, di mana pengecasan penuh mengambil masa sekitar 25 minit sahaja.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version