Site icon TechNave BM

Spesifikasi Xiaomi 13 Ultra diumum, bakal mempunyai 4 kamera 50MP

Pada minggu lalu, Xiaomi telah mengesahkan bahawa mereka bakal melancarkan telefon pintar andalan seterusnya, Xiaomi 13 Ultra, pada 18 April 2023. Kini, syarikat teknologi China itu mengumumkan spesifikasi kamera untuk telefon ini yang difokuskan pada fotografi.

Dalam sebuah kiriman di Weibo, Xiaomi mengatakan Xiaomi 13 Ultra bakal dilengkapi sebuah sensor Sony IMX989 dan tiga sensor Sony IMX858. Semua sensor ini bakal mempunyai jumlah megapiksel 50MP serta menawarkan teknologi DOL-HDR (digital overlap-high dynamic range) dan pengurangan noise LN2.

Sensor kamera utama akan mempunyai ukuran 1 inci dengan nilai apertur yang boleh berubah dari f/1.9 ke f/4.0. Tiga lagi kamera adalah kamera ultra-lebar, kamera telefoto 3x dan kamera telefoto 5x.

Nampaknya telefon ini bakal meneruskan trend telefon Xiaomi yang sangat mengutamakan prestasi fotografi, terutamanya selepas Xiaomi 12S Ultra dilengkapi sensor kamera 1 inci untuk menghasilkan kualiti imej tercantik.

Di samping kamera, Xiaomi turut mengatakan telefon ini akan mempunyai bateri yang sangat tahan lama, di mana cas 1% sahaja sudah cukup untuk bertahan selama 60 minit.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version