Site icon TechNave BM

Spotify ada AI sendiri? Kini boleh sembang dan minta lagu guna suara

Spotify secara rasmi memperkenalkan ciri Talk to Spotify yang membolehkan pengguna berinteraksi dengan aplikasi melalui perbualan dua hala. Ia kini ditawarkan dalam fasa beta untuk pengguna Premium yang berusia 18 tahun ke atas.

Menerusi ciri ini, pengguna boleh mencari lagu, meminta cadangan muzik atau mengubah suai aliran muzik yang sedang dimainkan dengan memberikan arahan melalui suara atau teks. Sebagai contoh, pengguna boleh meminta aplikasi memainkan artis baharu, menambah lagu ke dalam senarai main atau meminta perubahan mood pada senarai main.

https://bm.technave.com/wp-content/uploads/2026/07/You-can-now-talk-to-Spotify_demo-smaller-37492387492734.mp4

Selain kawalan muzik, ia turut menyediakan maklumat tambahan mengenai lagu, album, artis mahupun podcast dan buku audio. Pengguna boleh bertanyakan soalan seperti latar belakang inspirasi sesebuah lagu, tahun keluaran album atau maklumat mengenai tetamu dalam sesuatu rancangan podcast.

Spotify juga membolehkan pengguna menyemak sejarah mendengar mereka untuk mendapatkan rumusan mengenai citarasa muzik peribadi. Interaksi ini boleh dilakukan dengan menekan butang mikrofon atau menaip soalan terus pada paparan ‘Home’ atau ‘Now Playing’.

Pada masa ini, ciri beta tersebut hanya tersedia untuk pengguna di Amerika Syarikat, Ireland dan Sweden bagi peranti iOS dan Android dalam bahasa Inggeris. Spotify memaklumkan bahawa respons yang diberikan oleh sistem mungkin belum sempurna memandangkan ia masih di peringkat awal pembangunan.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Spotify

Exit mobile version