Site icon TechNave BM

Spotify benarkan individu berpengaruh kongsi Stories untuk perkenal senarai main mereka

Aplikasi pemain muzik popular Spotify kini sedang menguji sebuah fitur baru bernama Stories yang membolehkan beberapa individu berpengaruh (influencers) untuk memasukkan unsur-unsur video dalam senarai main mereka.

Seperti fungsi Stories lain di dalam Instagram dan YouTube, ia membenarkan pengguna untuk memuat naik klip video pendek yang boleh digunakan untuk mempromosi sesuatu. Di samping itu, beberapa garis mendatar juga akan terdapat di bahagian atas skrin untuk memaklumkan pengguna tentang jumlah Stories yang dimuat naik.

Buat masa ini, bintang YouTube Summer McKeen adalah individu berpengaruh pertama yang ditawarkan fungsi baru tersebut. Beliau menggunakannya untuk memperkenal sebuah senarai main yang terdiri daripada lagu-lagu kegemarannya sepanjang masa.

Spotify akan menawarkan Stories kepada beberapa lagi individu berpengaruh sebagai sebahagian daripada ujian mereka untuk fungsi baru ini. Walau bagaimanapun, ia tidak akan ditawarkan kepada artis kerana Stories lebih cenderung kepada pencarian muzik dan bukannya untuk mempromosi mana-mana pemuzik tertentu.

Adakah anda akan menggunakan fungsi Stories ini dalam Spotify jika ia ditawarkan kepada orang awam? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: TechCrunch

Exit mobile version