Spotify kini memperkenalkan Weekly Listening Stats iaitu ciri baharu yang membolehkan pengguna melihat statistik pendengaran mereka setiap minggu dalam bentuk paparan ringkas yang menyeronokkan dan mudah dikongsi.
Menurut Spotify, fungsi ini membantu pengguna mengimbas semula muzik yang mereka mainkan, menampilkan artis dan lagu paling kerap dimainkan dalam tempoh empat minggu terakhir. Ia turut disertakan dengan senarai main yang diilhamkan daripada citarasa muzik pengguna termasuk cadangan trek yang mungkin ingin anda dengar seterusnya.
Menariknya, setiap minggu pengguna akan menerima sorotan khas sama ada penemuan lagu baharu, detik penting atau momen sebagai peminat setia sesuatu artis. Spotify menyatakan bahawa fungsi ini direka untuk meraikan citarasa muzik unik setiap pengguna sambil mendorong mereka menemui kandungan baharu.
Ciri ini ditawarkan kepada semua pengguna sama ada akaun percuma atau pelanggan Spotify Premium di seluruh dunia. Untuk mengakses statistik, pengguna hanya perlu menekan gambar profil dan memilih tab “Listening Stats”. Anda boleh melihat artis teratas, lagu kegemaran dan pelbagai pandangan menarik mengenai corak pendengaran masing-masing.
Selain itu, pengguna juga boleh berkongsi statistik mingguan atau highlight pilihan terus ke media sosial melalui butang Share yang disediakan. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Spotify

