Facebook hari ini telah memperkenalkan sebuah pemain muzik mini di mana pengguna boleh memainkan muzik daripada Spotify tanpa meninggalkan aplikasi media sosial tersebut. Fungsi ini akan ditawarkan dalam sistem operasi iOS dan Android di 27 negara termasuk Malaysia.
Pemain muzik mini itu ingin ditujukan kepada pengguna Facebook yang kerap berkongsi muzik kepada keluarga dan rakan-rakan. Selepas berkongsi, pengguna Facebook boleh memainkan terus muzik itu dalam aplikasi sambil melayari Suapan Berita (News Feed) mereka.
Selain daripada itu, ia berfungsi seperti pemain Spotify biasa di mana pelanggan Spotify Premium boleh dapat kawalan secara penuh (full playback) manakala pengguna Spotify Free akan dapat pengalaman seperti biasa dalam shuffle mode.
Facebook akan menerima data daripada pemain Spotify itu termasuk maklumat langganan bagi mengukur prestasi pemain muzik mini tersebut. Ia tidak akan digunakan untuk tujuan pengiklanan bersasar (targeted ads). Pengguna yang berminat untuk mencuba pemain muzik mini itu buat kali pertama perlu memberi izin kepada sebarang perkongsian data oleh Facebook.
Beritahu kami di Facebook jika ini adalah satu fungsi yang amat berguna untuk anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Spotify

