Terbaharu, Spotify memperkenalkan fungsi “Podcast Clips” yang membolehkan pengguna memotong, menyimpan dan berkongsi bahagian tertentu daripada episod podcast secara terus dalam aplikasi. Menerusi fungsi ini, pengguna boleh memilih momen tertentu dalam podcast menggunakan ikon gunting yang tersedia pada paparan “Now Playing”.
Klip tersebut kemudian boleh disimpan ke pustaka peribadi atau dikongsi kepada pengguna lain melalui pautan terus. Selain klip pendek, Spotify turut membolehkan perkongsian dibuat dalam beberapa format lain termasuk episod penuh, bahagian tertentu serta timestamp spesifik dalam podcast.
Menurut Spotify, semua klip yang disimpan akan muncul dalam “Your Library” dan boleh dimasukkan ke playlist podcast sedia ada. Fungsi ini ditawarkan kepada pengguna percuma dan berbayar serta dilancarkan secara berperingkat di peringkat global.
Dalam pengumuman sama, Spotify mendedahkan bahawa ciri “Chapters” kini digunakan secara aktif dengan lebih dua juta simpanan setiap bulan yang menunjukkan peningkatan penggunaan kandungan podcast secara lebih interaktif. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini

