Jika keluarga anda melanggan kepada pelan keluarga Spotify Premium Family Plan bagi mendapatkan penjimatan untuk setiap individu, anda perlu tahu bahawa jumlah akaun yang boleh didaftarkan dalam pelan tersebut kini telah diturunkan kepada empat akaun premium sahaja, berbanding enam akaun pada asalnya.
Spotify telah pun memberi notis berkenaan perubahan ini kepada para pelanggannya melalui e-mel. Harga langganan bulanan masih sama pada RM24.90, namun jumlah akaun premium yang berada bawah naungan sebuah Family Plan kini dihadkan kepada empat akaun sahaja.
Jika anda masih ingin mengekalkan enam akaun premium dalam sebuah Family Plan, anda perlu membeli dua slot tambahan yang menjadikan yuran bulanan meningkat kepada RM40.70, iaitu lebih tinggi sebanyak RM15.80 berbanding Family Plan asal yang merangkumi enam akaun.
Buat masa ini, perubahan pada Family Plan ini hanya berlaku untuk beberapa negara sahaja seperti Malaysia dan Indonesia, manakala negara-negara luar seperti Singapura, Filipina dan Brunei masih mengekalkan polisi enam akaun untuk satu Family Plan.
Beritahu kami di Facebook jika perubahan ini melibatkan anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

