Site icon TechNave BM

Spotify Premium kini sokong audio Lossless, dengar muzik seakan rakaman asal

Spotify mengumumkan ciri baharu Lossless Listening untuk pelanggan Premium yang menawarkan kualiti audio lebih kaya dengan butiran muzik yang lebih jelas. Fungsi ini mula dilancarkan secara berperingkat di lebih 50 pasaran sejak 10 September 2025.

Dengan sokongan format FLAC 24-bit/44.1 kHz, pengguna kini boleh memilih tahap kualiti audio daripada Low hingga Lossless mengikut sambungan internet sama ada Wi-Fi, data selular atau muat turun. Ciri ini boleh diaktifkan menerusi aplikasi Spotify dengan pergi ke ikon profil → Settings & Privacy → Media Quality → pilih tetapan “Lossless”.

Apabila diaktifkan, penanda khas akan muncul semasa lagu dimainkan. Spotify Lossless menyokong pelbagai peranti termasuk telefon pintar, desktop, tablet serta sesetengah produk melalui Spotify Connect daripada Sony, Bose, Samsung dan Sennheiser. Sokongan untuk peranti lain seperti Sonos dan Amazon pula bakal menyusul dalam bulan akan datang.

Walau bagaimanapun, Spotify mengingatkan bahawa audio Lossless mempunyai saiz fail lebih besar dan prestasi terbaik boleh dicapai menggunakan sambungan Wi-Fi serta kabel berbanding Bluetooth bagi mengelakkan sebarang pemampatan audio. Dengan ciri ini, pelanggan Premium kini boleh menikmati pengalaman muzik yang lebih imersif dan hampir menyamai rakaman asal.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Spotify

Exit mobile version