Site icon TechNave BM

Spotify Running Mode dilancar untuk pengguna iPhone, lagu ikut BPM dan jenis latihan

Spotify secara rasmi melancarkan ciri Running Mode bagi memberikan pengalaman pendengaran muzik yang disesuaikan mengikut aktiviti larian pengguna. Ia ditawarkan khusus untuk pengguna Spotify Premium pada peranti iOS dan boleh diakses menerusi hab Fitness. Melalui ciri ini, pengguna boleh memilih daripada 25 tetapan praset larian yang disediakan.

Pengguna juga boleh melaraskan pilihan mengikut jenis senaman seperti senaman selang seli, konsisten atau piramid, selain menetapkan tempoh masa, kadar Beats per Minute (BPM) serta genre muzik yang diingini.

Sistem Spotify kemudiannya akan memadankan irama lagu mengikut tempo yang dipilih dan beralih antara trek secara lancar bagi mengekalkan kelancaran sesi senaman. Terdapat juga panduan arahan suara pilihan dalam bahasa Inggeris untuk memberikan makluman sepanjang aktiviti larian berlangsung.

Langkah ini memperluas penawaran kandungan kecergasan sedia ada di platform berkenaan seperti kelas Peloton dan video senaman pencipta kandungan. Ia diperkenalkan atas permintaan tinggi terhadap penyesuaian senarai main berasaskan aktiviti fizikal yang dicatatkan menerusi fungsi Prompted Playlists sebelum ini.

Ciri Running Mode mula ditawarkan secara rasmi untuk pengguna iOS di beberapa negara terpilih sebelum tersedia secara global. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Spotify

Exit mobile version